Monday, November 17, 2008

KeCeWa


Semester 1 sesi 2008/2009 baru sahaja selesai. Ketika coretan ini direalisasikan, aku berada di rumah. Persiapan perkahwinan boleh dikatakan 51% selesai. Berhenti seketika dari mengira cenderahati, aku terfikir untuk meng’update’kan blog yang lama tidak beraksi seolah-olah ‘Helang yang Mati".

Hampir 22 minit berada di depan laptop, timbul idea untuk menulis mengenai Kecewa (sambil mendengar lagu Hanya Ingin Kau Tahu dari Republik =)). Tercetusnya idea ini selepas aku sendiri mengalami perasan kecewa. Manusia, tidak boleh lari dari perasaan ini. Lebih-lebih lagi, status sebagai seorang pelajar, banyak bermain dengan emosi untuk melahirkan jiwa yang matang dan waras.

Pernahkah kamu merasa hampa?
Pasti, selagi kita bernama manusia, selagi sampan kehidupan ini kita dayung di lautan kehidupan di dunia yang penuh dengan dengan ombak dugaan dan taufan ujian, semestinya rasa yang menyakitkan itu pernah hinggap di dalam hati kita, bukan?
Mengapa harus ada rasa kecewa?
Mengapa perlu ada airmata duka?
Dan bagaimana pula kecewa itu boleh lahir?
Bukan kah indah hidup ini seandainya tiada derita?

Pertanyaan-pertanyaan sedemikian selalu benar mengetuk pintu benak kita, di saat kita dilanda rasa kecewa. Benar, bukan? Dan memang benar juga, bahawa tidak ada kecewa yang menggembirakan atau diundang.

Kecewa berasal kegagalan kemahuan ditunaikan. Dengan adanya tuntutan, kemahuan ataupun kehendak diri dan hati yang tidak dipenuhi ataupun tidak dipenuhi dengan sempurna. Tuntutan, kemahuan ataupun kehendak dalam diri manusia adalah tidak ada batasnya. Adakalanya, kita meletakkan harapan kita pada sesuatu ataupun pada sesama manusia, yang mana kemudiannya kita dihempap rasa hampa kerana harapan kita itu tidak terlaksana. Maka dengan itu, sebaik-baik tempat untuk kita gantungkan sejuta harapan adalah kepada Allah s. w. t. kerana Dia tidak pernah menghampakan kita hambaNya yang lemah tak bermaya. Sekalipun apa yang diberinya tidak seiring dengan apa yang kita idamkan, namun, bagi mereka yang telah tanamkan pohon taqwa dan harapan kepada Allah s.w. t., akan menyedari dan memahami bahawasanya, Allah itu, Maha Mengetahui…. tidak akan diberikan sesuatu, melainkan hanya untuk kebaikan kita, hambaNya yang hina…

Kecewa kearah perasaan negatif
Rasa kecewa boleh mendorong perasaan cemburu, iri hati, dengki, putus asa, lemah semangat, rendah diri, serta pelbagai lagi perasaan yang lain, dan perasaan-perasaan itu boleh pula menjadi penyebab kepada perbuatan yang kita akan lakukan untuk mengurangkan atau melarikan diri dari rasa kecewa itu. Walau bagaimanapun, rasa kecewa itu juga sebenarnya adalah penawar yang pahit tapi mujarab untuk menyembuhkan penyakit jiwa yang seringkali jangkitannya terkena pada kita.

Kecewa kearah perasaan positif
Kecewa boleh menjadi satu batu loncatan untuk kita melompat dengan lebih tinggi dan bisa menjadi satu bentuk rasa yang mampu melahirkan suara hati, kemudian pula kemahuan dan akhirnya menjana tenaga yang membuahkan tindakan, yang pastinya sesuatu yang positif untuk melahirkan sesuatu yang positif juga.

Petikan dari DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Asas kehidupan adalah perjuangan. Perjuangan dalam peperangan, dan dalam setiap peperangan, yang menjadi pertaruhan adalah kalah atau menang, jarang yang seri. Amatlah besar bahaya perjuangan ini sekiranya kita hanya bergantung dengan prestasi dan kekuatan yang rapuh. Sepertinya kita bergantung kepada ranting yang rapuh, yang mana ranting itu sendiri sebenarnya tidak punya kuasa untuk melindungi dirinya sendiri, apatahlagi yang bergantung padanya. Malah, kenyataan hidup menyaksikan, bahawa semua yang ada di dunia ini adalah terbatas oleh ruang dan waktu. Ada mula, ada akhirnya, boleh rosak, boleh berubah. Tiada yang sempurna sesempurna Dia yang Maha Sempurna.

Sedarkah kita, bahawa kecewa dan dukacita itu, dapat membuang kemunafikan, kepura-puraan kita, membuka ruang diri dan mengungkapkan sebagaimana apa adanya.

Dalam keadaan yang penuh kesakitan ini, kita tidak pernah mampu lagi menipu diri. Maka, sekiranya peribadi yang utuh itu milik kita, insyaAllah, kita mampu menerima luka itu sebagai berkat dan kurnia, jika sebaliknya, pasti kita menjatuhkan sumpah dan kutukan kepada luka dan kecewa itu tanpa berusaha mengenali dan mencari penawar untuknya.

Bersihkanlah kecewa itu dari rasa putus asa. Bersihkan kecewa itu dari duka yang menjadi sumber godaan syaitan yang terbaik untuk menyesatkan kita.
Bersihkanlah kecewa itu dari kutukan yang menghilangkan hikmah dari pandangan mata. Bersihkanlah kecewa!


5.32 pm
SALAM~
-separuh dari cetusan idea ini diambil dari beberapa sumber rujukan.


No comments: